WELCOME

;
;

JOM PAKAT2 TURUNKAN BN

JOM PAKAT2 TURUNKAN BN

BANTU PERNIAGAAN OKU

PENGIKUT JEBAT_BERANI

Wednesday, February 3, 2010

1MALAYSIA : BANTULAH OKU BERNIAGA

(Bantulah perniagaan OKU )




Hazayani Zakaria

Meskipun bergelar orang kurang upaya (OKU) dan terpaksa berkerusi roda serta mengharapkan bantuan isteri dan anak untuk menguruskan diri, namun Omar Abdul Aziz, 42 tidak pernah patah semangat untuk meneruskan hidup malah mempunyai cita-cita untuk membantu golongan senasib dan kurang kemampuan.

Harakahdaily sebelum ini ada menyiarkan berita bertajuk 'OKU mohon sumbangan biayai kursus komputer' selepas menerima surat permohonan melalui emel yang dihantar oleh Omar sendiri. Ekoran itu, krew Harakahdaily berkunjung sendiri ke kedai Omar, OAA Mycrosystem di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel, dekat sini.

Perbualan kami berkisar mengenai kursus komputer yang menjadi harapan Omar seperti yang disiarkan sebelum ini serta hal-hal berkaitan kehidupan mereka sekeluarga.

Sejak berita itu disiarkan dalam Harakahdaily, Omar belum menerima sebarang respon daripada mana-mana pihak untuk membantu membiayai pengendalian kursus tersebut.

Bagaimanapun beliau masih belum berputus asa untuk memastikan projek itu berjaya dilaksanakan dengan meneruskan usahanya menghantar surat permohonan ke mana-mana agensi kerajaan, Yayasan serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).

Namun, sedikit dikesalkan Omar apabila usahanya itu dipandang enteng oleh sesetengah pihak selain karenah birokrasi untuk mendapatkan bantuan bagi warga OKU seperti beliau.

Menurutnya, setelah bertungkus lumus turun naik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, barulah pegawainya datang melawat kedainya pada minggu lepas.

Namun, Omar dimaklumkan bahawa beliau tidak layak mendapat bantuan kerana tidak memohon melalui persatuan.

Sebelum ini, Omar pernah memohon melalui Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia (POCAM) tetapi belum juga berhasil.

Menurut Omar juga, beliau mendaftar sebagai ahli Persatuan Muscular Dystrophy, iaitu penyakit otot yang dihidapinya tetapi persatuan itu kini sudah tidak dapat dihubungi.

"Minggu lepas JKM ada datang tapi mereka bagitahu saya kena mohon bantuan melalui persatuan. Saya memang ahli POCAM dan saya juga ahli Persatuan Muscular Dystrophy.Tapi persatuan sudah tidak dapat dikesan.

(Gambar: Hazayani berbual dengan Omar di kedainya)

"Apa lagi OKU seperti saya boleh lakukan? Saya dengan bantuan isteri dan kawan-kawan dah turun naik pejabat untuk dapatkan bantuan. Tapi semuanya dipandang sepi walaupun saya bagitahu saya mohon bantuan bukan untuk diri sahaja tapi untuk bantu golongan yang kurang berkemampuan juga," katanya kesal.

Omar memberitahu, akibat keadaannya yang tidak sempurna, orang ramai sering mengambil kesempatan ke atas dirinya dan keluarga. Beliau dengan bantuan anak sulungnya, Mohd Saifun Nasrullah yang menjalankan perkhidmatan membaiki komputer, laptop dan beberapa perkakas elektrik yang lain sering dituduh mengenakan bayaran yang tinggi.

Sedangkan jika dibandingkan dengan orang lain yang menjalankan perkhidmatan yang sama, bayaran yang dikenakan mereka lebih tinggi.

"Bila tengok keadaan saya begini, mereka selalu minta bayaran yang rendah dan merungut saya kenakan bayaran yang tinggi. Kadang-kadang bayaran yang saya kenakan tak balik modal pun bila kira kos ambil dan hantar barang ke rumah pelanggan," ceritanya sedih.

Sewaktu kunjungan krew Harakahdaily, kedai yang berkeluasan sederhana tanpa pendingin hawa itu sunyi sepi tanpa pengunjung.

Beliau memberitahu, sambutan pelanggan terhadap kedainya juga semakin merosot akibat saingan daripada kedai-kedai lain yang lebih 'selesa' di luar sana.

Ekoran itu, Omar mula menghadapi masalah kewangan untuk membiayai sewa kedai serta bil air dan elektrik. Malah bayaran sewa kedai sudah tertunggak selama empat bulan.

Duit simpanannya di bank juga sudah habis digunakan untuk membayar sewa kedai kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM350 sebulan.

"Beginilah kedai kami, tidak ada orang datang. Lebih-lebih lagi hari sekolah. Petang adalah dua tiga orang yang datang. Kalau tengah malam ramailah sikit. Sebab kebanyakan yang datang kerja di Carefour, dan pasaraya-pasaraya lain. Bila balik kerja mereka datang melayari internet. Kami terpaksa buka sampai awal pagi,"katanya.

Omar bergantung kepada wang pencen sebanyak RM141.21 sebulan dan bantuan Baitumal sebanyak RM250 di samping pendapatan dari kedai dan perkhidmatan membaiki komputer yang tidak seberapa.

Bertuah punyai isteri dan anak yang sanggup berkorban

Menyelami perasannya sebagai OKU, beliau dengan tenang berkata, redha dengan ketentuan Allah dan tidak akan berputus asa untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga.

Beliau juga sedaya mungkin tidak bergantung sepenuhnya kepada belas ihsan orang ramai untuk menyara kehidupan sebaliknya mahu melakukan sesuatu dari hasil titik peluhnya sendiri menggunakan kemahiran yang dimilikinya.

"Saya boleh pilih untuk jadi pengemis, jual tisu atau main alat muzik di tempat awam. Saya boleh duduk di luar Carefour, tadah bekas. Macam yang kawan-kawan saya lakukan. Banyak hasil yang mereka dapat. Tapi saya tidak mahu begitu.

"Sebab itu saya mohon bantuan untuk majukan kedai saya di samping bantu golongan yang hampir senasib dengan saya. Saya nak pastikan kedai milik warga OKU dapat bertahan setanding dengan kedai orang biasa,"katanya penuh semangat.

Menyentuh mengenai bantuan isteri dan anak, beliau mengakui sangat terhutang budi dengan pengorbanan isteri dan anak sulungnya, Saifun sejak beliau mula berkerusi roda.

Ceritanya, anak sulungnya terpaksa berhenti sekolah sejak tingkatan empat kerana menguruskan keperluannya seharian memandangkan beliau tidak boleh bergerak sendiri seperti orang lumpuh yang lain.

"Saya nak bangun untuk duduk di kerusi roda pun kena ada orang angkat. Nak ke tandas dan sebagainya, memang kena bantuan orang lain."

Saifun atau dipanggil Ayub juga dengan rela hati menolak tawaran kerja dari sebuah syarikat pengkomputeran kerana ingin membantu Omar sepenuh masa termasuk menguruskan kedai dan melakukan kerja pembaikian.

Isterinya pula, berhenti kerja sebagai guru di sekolah swasta untuk menumpukan perhatian kepada Omar dan membantu Ayub menguruskan kedai.

Hasmiza isteri yang cekal

Kali pertama bertemu dengan wanita 40 tahun ini, tiada siapa akan menyangka bebanan yang terpaksa digalasnya melihat kepada perwatakannya yang ceria dan sering ketawa.

Ditanya apakah kunci kekuatannya menghadapi situasi sebegini, beliau dengan ringkas menjawab, 'anak-anak'.

(Gambar: Hasmiza merenung masa depannya)

Hasil perkahwinan selama lebih 20 tahun, mereka dikurniakan lima orang anak. Selain Ayub, anak-anaknya yang lain Ali Saifuddin, 16, Wafiqah Husna, 14, Hidayah Husna, 11, dan Aslah Hanzalah, 7.

Menurut Hasmiza, anak-anak yang memahami kesempitan hidup mereka sekeluarga merupakan sumber inspirasinya untuk lebih tabah menghadapi kehidupan.

Beliau tidak pernah menyesali nasib yang menimpa diri dan suami sebaliknya berasa bertuah mempunyai suami yan tabah dan bersemangat tinggi untuk memajukan diri.

"Kalau tengok keadaan dia (Omar), tidak sepatutnya dia ke kedai dan membuat kerja-kerja sampingan tapi dia seorang yang tabah. Walaupun dalam keadaan begitu, dia tetap ingin berdikari walaupun sukar,"katanya.

Omar mula berkerusi roda sejak lapan tahun lalu. Sebelum ini Omar bekerja sebagai jurutaip di jabatan Peguam Negara namun diberikan pencen awal akibat keadaan dirinya.

Beliau juga berkata, tiada apa yang diharapkan daripada insan lain yang sempurna, cuma beliau mahukan kemahiran suaminya dihargai dan diberi peluang untuk memajukan diri dan membantu golangan yang kurang bernasib baik.

"Saya tidak minta lebih. Cukuplah suami saya dihargai, kerja-kerjanya dihargai dan ada orang orang yang sudi menghulurkan sumbangan untuk membiayai kursus yang menjadi cita-citanya itu,"ujarnya mengakhiri perbualan.

Kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menggunakan akaun Maybank 164017121521 atas nama OMAR BIN ABDUL AZIZ.

Omar juga boleh dihubungi di talian 019-2235345 atau 0125550546 atau melalui emel beliau, omar02_abdul_aziz@yahoo.com.my Maklumat mengenai oAa Microsystem pula didapati di http://oaa-microsystem06.blogspot.com/.

JEBAT_BERANI : SAHABAT KITA INI BUKAN MEMINTA WANG RINGGIT DARI KITA..APATAH LAGI KEHIDUPANNYA DITAJA..BELIAUB HANYA MEMINTA KITA MEMBANTU PERNIAGAAN BELIAU DENGAN MENJADI PELANGGAN ATAU PUN MEMPERKENALKAN PERNIAGAAN BELIAU KEPADA SAHABAT YANG MEMERLUKAN...DAN DARI KITA MEMAJUKAN PERNIAGAAN BANGSA LAIN APALAH SALAHNYA JIKA KITA MEMBANTU PERNIAGAAN BANGSA SENDIRI YANG JUGA MERUPAKAN SEORANG OKU.....SESUNGGUHNYA SANGAT BESAR GANJARAN DARI ALLAH BUAT HAMBANYA YANG HIDUP SALING MEMBANTU ANTARA SATU SAMA LAIN..

No comments:

Post a Comment