MENGAPA HANG JEBAT MENDERHAKA
Mungkin ada baiknya orang-orang dalam puak kerajaan (seperti Hishamudin dan Mohd.Khir Toyo) yang begitu mudah menuduh orang di luar puak mereka sebagai "penderhaka" dan "pengkhianat negara" diingatkan balik mengapa golongan rakyat seperti Hang Jebat, Laksamana Bentan dan Sang Rajuna Tapa menderhaka kepada raja.
Dalam sejarah bangsa Melayu, penderhakaan rakyat kepada raja adalah sesuatu yang sangat jarang berlaku. Hal ini barangkali kerana bangsa Melayu telah disosialisasikan dengan nilai yang sangat asas, iaitu "pantang anak Melayu derhaka kepada raja". Di samping itu, ada pula "fatwa" sesetengah ulama suni yang pro status qou bahawa rakyat wajib taat kepada umara, walaupun umara melakukan kezaliman (?).
Oleh itu, jika sesekali ada rakyat Melayu yang bangkit menentang raja (dengan perkataan lain menderhaka), maka biasanya ada "faktor wujud dulu" yang sangat penting yang mendahului peristiwa itu.
Dalam kes penderhakaan Hang Jebat, misalnya, kita semua tahu bahawa Hang Jebat bangkit menentang raja kerana raja Melaka telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah yang sangat setia dan banyak berjasa tanpa usul periksa dan kerana fitnah semata-mata. Dalam hal ini jelas Raja Melaka telah menjatuhkan hukuman yang tidak adil, dan Hang Jebat menentang raja kerana pada anggapannya raja telah melakukan kezaliman. Jadi kezaliman rajalah sebenarnya faktor penting dan utama yang mendorong timbulnya penderhakaan itu.
Dalam konteks semasa pula, yang juga sangat jarang berlaku, penentangan terhadap kerajaan telah dilakukan oleh ribuan dan mungkin puluh ribuan "Hang Jebat". Walaupun yang tampil ke hadapan hanya beberapa orang, tetapi di belakang mereka mungkin ada ribuan atau puluh ribuan orang. Mengapa pula perisrtiwa ini berlaku?
Kalau kita bersikap jujur dan mahu menerima kenyataan sebagai kenyataan (walaupun kenyataan itu agak pahit), nampaknya kita terpaksalah mengakui bahawa kini sejarah telah berulang semula.
Faktor besar dan utama yang mendorong timbulnya penentangan ( atau katakanlah "penderhakaan" ) ini tidak lain daripada tindakan puak pemerintah (termasuk institusi dan alat negara) yang dilihat dan ditanggapi oleh rakyat sebagai "tidak adil". Hal ini barangkali tidak perlu dijelaskan secara terperinci. Akan tetapi sebagai ingatan bersama, lihat sahajalah apa yang telah dilakukan oleh bekas KPN ke atas mantan TPM; bagaimana pendakwaan terhadap mantan TPM dijalankan; dan bagaimana hakim yang dipilih oleh kerajaan menjalankan perbicaraan dan menjatuhkan hukuman.
Walaupun contoh yang disebut ini hanya melibatkan seorang individu, tetapi apabila pelbagai alat dan institusi negara digunakan untuk "menghukum" beliau, maka yang terpampang jelas kepada rakyat yang prihatin ialah individu berkenaan telah tidak diberi keadilan yang sewajarnya. Dan yang dilihat telah melakukan "kezaliman" bukan sahaja ketua kerajaan yang menjadi simbol sesebuah negara, tetapi juga pelbagai institusi negara ( termasuklah badan kehakiman).
Dengan itu, apa yang dikatakan penderhakaan atau pengkhianatan terhadap negara (jika benar demikian) bukanlah sesuatu yang timbul secara spontan. Kemunculan peristiwa itu ada sebabnya. Dan dalam hal ini sebab yang utama tidak lain daripada tindakan puak pemerintah yang dipersepsikan oleh ribuan atau puluh ribuan "Hang Jebat" sebagai kezaliman!
(DIPETIK DARI TULISAN: Salman Madani)
No comments:
Post a Comment